Temubual eksklusif bersama Presiden Muafakat Nasional (NGO), Tan Sri Annuar Musa di Plaza Damas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa membidas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menuduhnya bagai ‘kaduk naik junjung’ kerana menafikan wujudnya cubaan mengharamkan UMNO.

Sebaliknya bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan dirinya sebagai ‘kaduk dibuang junjung’ yang ditendang daripada UMNO kerana mengetahui banyak tipu helah Ahmad Zahid termasuk menjadi dalang utama sebelum wujudnya kerjasama UMNO-DAP.

“Kenapa tiba-tiba koyak, tak jawab soalan, saya ini kaduk kena buang junjung. Apa kena mengenanya apa yang saya tahu dengan kerana saya seorang Setiausaha Agung (SUA) yang dilantik?

“Adakah bermakna saya SUA yang dilantik, maka saya tak tahu apa-apa? Kerana saya SUA, saya tahu lebih banyak daripada presiden, sebab saya yang buat kerja itu.

“Dia (Ahmad Zahid) patut jelaskan betul tak benda saya tahu itu, benda betul atau benda tipu? Saya tahu dia bercakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bincang soal Perhimpunan Agung UMNO (PAU) seperti mana bocor percakapan telefon,” katanya kepada MalaysiaGazette  hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyifatkan Annuar umpama ‘kaduk naik junjung’ apabila menafikan wujud cubaan mengharamkan parti itu pada 2018.

Presiden UMNO mendakwa, hanya Annuar sahaja tidak tahu mengenai cubaan mengharamkan UMNO yang dirancang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Timbalan Perdana Menteri menganggap Annuar tidak tahu mengenai usaha mengharamkan UMNO kerana hatinya sudah ke sebelah sana ketika itu, dipercayai merujuk kepada Pas.

Dalam pada itu, Annuar membidas Ahmad Zahid yang menuduhnya tidak mengetahui banyak perkara apatah lagi Presiden UMNO itu sendiri bercuti ketika beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas parti itu tewas selepas PRU14.

“Presiden cuti, kempen di Cameron Highlands (PRK) tak turun, kempen di Semenyih dan banyak pilihan raya dia tak turun. Yang kena lalu (kerja) saya, jadi tak boleh guna hujah kerana saya dilantik, maka saya tak tahu apa-apa kalau ikut dalam video klip dia.

“Jawab secara tenang supaya ahli UMNO dapat mendengar hujah bukan keluar ayat koyak, kaduk naik junjunglah, waktu saya dilantik ini saya hatinya lebih ke sana, lebih ke mana?

“Jadi dia boleh baca dalam hati saya tapi dia tak boleh baca daripada lidah saya, benda yang daripada lidah saya, saya sebut terus terang,” katanya.

Annuar seterusnya mencabar Ahmad Zahid bersumpah sekiranya benar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak terlibat dengan usaha mewujudkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU15 lagi.

“Bila saya bercakap, satu dunia waktu UMNO berpegang pada dasar No Anwar No DAP, dia (Ahmad Zahid) pergi berunding dengan Anthony Loke di Ampang dengan Anwar.

“Betul ke? Salah jawab, kalau dapati saya bercerita benda salah, bolehlah kata SUA yang dilantik ini kaduk naik junjung, buktikan saya salah.

“Betul ker tidak tangan dia tandatangan surat kepada Yang di-Pertuan Agong nak angkat Anwar jadi Perdana Menteri sewaktu UMNO belum beri restunya?

“Cakaplah Annuar Musa ini berbohong, saya Wallahi Wabillahi Watallahi tak pernah berunding dengan Anwar, cakaplah,” katanya.

Annuar juga mencabar Ahmad Zahid mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya pendedahan yang dibuatnya itu satu pembohongan dan fitnah.

“Kalau saya bohong, salah, betulkan, tak puas hati lagi dakwalah saya kerana fitnah. Tak perlu koyak, sebab saya kena betulkan fakta dan sejarah, saya tak bawa ahli-ahli UMNO, siakap senohong gelama ikan duri, mula-mula cakap bohong, lama-lama psiko orang, akhirnya kita percaya pembohongan kita sendiri.

“Orang percaya Anwar menyelamatkan UMNO, Subhanallah. Berapa puluh tahun dia gabung dengan DAP nak matikan UMNO, nak kalahkan UMNO, apa benda dia tak sumpah, apa benda dia maki UMNO,” katanya.

Annuar turut melahirkan rasa hairan pendedahan Anwar kononnya Perdana Menteri itu telah ‘menyelamatkan’ UMNO.

“Tiba-tiba sekarang ini dia claim, dialah sebenarnya nak menghidupkan UMNO sebab UMNO ini parti emak ayah dia.

“Kalau sudah tahu UMNO ini parti emak ayah dia, kerana dia (Anwar) dulu dikeluarkan dari UMNO, kenapa habis rakyat, habis kereta polis, habis kereta gas pemedih mata dikerjakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast