Aminuddin Harun

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan soal pengagihan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Beliau berkata ia termasuk kawasan DUN Lenggeng yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya sama ada ditandingi oleh calon PH atau Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

“Kerusi Lenggeng, Perdana Menteri belum umumkan apa-apa lagi, … keputusan adalah di bawah kuasa Presiden, saya akur bahawa presiden yang akan umumkan, sekarang ini ada dua parti menuntut, satu ingin mempertahankan dan satu lagi menuntut,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan hoki wanita negeri bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 berkata PH dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada PRN kali ini pada 20 Julai atau 21 Julai ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN akan bertanding 17 DUN di negeri ini termasuk kerusi Lenggeng yang disandang oleh Parti Amanah Negara (Amanah), namun Pengerusi Amanah negeri Datuk MK Ibrahim Abd Rahman terlebih dahulu turut mengumumkan parti itu kekal bertanding di tiga kerusi DUN iaitu di DUN Klawang, Lenggeng dan Paroi.

Pada PRU14, PH menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga), manakala BN pula memenangi 16 kerusi iaitu UMNO (15) dan MIC satu kerusi daripada keseluruhan 36 kawasan DUN di negeri itu.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast