J. Lalitha Mani (kiri) dan B. Shivaranjani

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia (PWBSM) dan bekas bendaharinya masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dua baucar bayaran palsu bagi peruntukan dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM1,600.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda itu ke atas bekas pengerusi PWBSM, J. Lalitha Mani, 48, dan B. Shivaranjani, 42, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua wanita itu menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan bersama-sama menggunakan dua dokumen palsu iaitu baucar ‘Volunteer Services For Program Pemerkasaan Wanita India’ bagi peruntukan dana di bawah MITRA bertarikh 11 Okt yang dikeluarkan oleh PWBSM, masing-masing sebanyak RM800 kepada Priscilla Rachael, 27, dan G.Govindan, 44.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di MITRA, Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada 26 Okt 2020. Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada 28 Julai 2020, Lalitha Mani yang merupakan Setiausaha merangkap Pengerusi PWBSM dan Shivaranjani, bendahari persatuan berkenaan ketika itu, telah menandatangani satu perjanjian antara kerajaan (MITRA) dan PWBSM di bawah Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya Masyarakat India bagi 2020 untuk mendapatkan geran kewangan MITRA berjumlah RM1.1 juta.

MITRA telah membayar keseluruhan jumlah geran tersebut antara 12 Ogos 2020 hingga 19 Jan 2021 secara berperingkat dan PWBSM perlu menyediakaan laporan berkala kepada MITRA berkaitan program berkenaan.

Pada 26 Okt 2020, Shivaranjani telah menghantar Laporan Berkala Prestasi Pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita anjuran PWBSM bertarikh 20 Okt 2020 yang mengandungi dua baucar bayaran palsu kepada MITRA.

Hasil siasatan mendapati, penerima baucar bayaran iaitu Priscilla dan Govindan tidak pernah menerima bayaran atau menandatangani baucar berkenaan pada 11 Okt 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Syafina Mohd Radzuan memohon hukuman sewajarnya terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kes menggunakan dokumen palsu kerap berlaku.

Peguam Devanandan S.Subramaniam, mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan Lalitha Mani yang juga seorang guru tuisyen perlu menanggung tiga anak manakala Shivaranjani baru sahaja bekerja sebagai eksekutif perolehan tenaga kerja.- BERNAMA