SEKINCHAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mencampuri urusan mahkamah, apatah lagi membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Anwar berkata, beliau serahkan proses itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan pendakwaan mengikut proses perundangan sedia ada.

“Itu biar ikut proses, Dewan Diraja Selangor buat laporan, polis buat siasatan dan peguam negara putuskan buat pendakwaan.

“Jadi saya tidak mahu campur, biar ikut proses dan saya minta orang meneliti pendakwaannya.

“Apa laporan Dewan Diraja Selangor, kemudian apa alasan Peguam Negara melihat kepada pendakwaan setelah siasatan polis dibuat, kita hormat proses mahkamah,” katanya kepada pemberita di MSekin Wonderland, di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sentuhan Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Terdahulu Menteri Besar Kedah berdepan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Sanusi didakwa didapati melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkemeja putih kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tindakan mengkritik Perdana Menteri berbeza jika melibatkan Raja-Raja Melayu.

“Dari segi dasarnya kita elak daripada penggunaan Akta Hasutan. Tapi yang ini bila menyentuh kedudukan Raja-Raja.

“Soal kritik Perdana Menteri saya tak pernah gunakan itu sebagai satu alasan

“Tapi ini soal kedudukan dan martabat Raja-Raja yang harus kita pelihara dan elak menjadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat,” katanya.

Ditanya tentang tindakan polis yang menahan Sanusi seawal jam 3 pagi tadi, Anwar bagaimanapun berkata, Menteri Besar Kedah itu perlu mematuhi proses perundangan negara.

“Itu kena prosesnya, yang saya dapat maklumat polis pantau, dia cari, dia dapat dan dia tangkap,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast