LRA Tok Bali
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Ahli dan penyokong Pas digesa supaya berdoa kepada Allah agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diberikan ketabahan susulan penahanan Menteri Besar Kedah tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut meminta agar semua penyokong parti itu berdoa supaya Muhammad Sanusi berjaya dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang berterusan mendokong kepimpinan beliau dan doakan agar Perikatan Nasional akan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Marilah kita berterusan berzikir dengan zikir Syikh Abu Ala Al Hadrami r.a dalam menghadapi saat kritikal agar doa kita dimakbul oleh Allah,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, pihak kepimpinan bersama Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi (Luham) Pas Pusat akan membantu Muhammad Sanusi sebaik mungkin.

Serentak itu Ahli Parlimen Kawasan Kubang Kerian tersebut meminta penyokong Pas tidak terlibat dalam sebarang provokasi.

“Pas menggesa seluruh pimpinan di semua peringkat, ahli parti , penyokong dan simpati kepada kes Datuk Seri Sanusi Mohd Nor agar bertenang, mengelak sebarang provokasi atau melibatkan diri dalam provokasi yang sengaja direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pimpinan sedang mengurus kes ini dengan sebaik mungkin bersama pihak Luham serta dokongan pelbagai pihak khususnya para peguam yang sedia membantu Datuk Sanusi,” katanya.

Muhammad Sanusi tiba di Mahkamah Sesyen Selayang, Gombak, di sini, pada jam 8.55 pagi.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dibawa ke mahkamah dengan kenderaan polis. Sanusi yang berkemeja putih dibawa memasuki kamar Mahkamah Sesyen 2.

Beliau berhadapan pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politik.

Muhammad Sanusi dilaporkan ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Publika sebelum pulang ke hotel kira-kira jam 11.40 malam.

Beliau yang ditahan di bawah Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

Muhammad Sanusi dalam ceramahnya menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar. – MalaysiaGazette