KUALA LUMPUR – Tujuh individu dan sebuah syarikat hari ini mendakwa telah terpedaya dalam pelaburan pendanaan awam yang diuruskan oleh pemilik sebuah kelab bola sepak di Pantai Timur hingga mengakibatkan kerugian mencecah RM900,000.
Seorang profesional syarikat swasta yang enggan mendedahkan identitinya berkata, dia mula berkenalan dengan individu berkenaan yang juga seorang usahawan menerusi Facebook sebelum dipelawa untuk menghadiri taklimat Tawaran Awam Awal (IPO).
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada tahun 2020, sewaktu negara dilanda Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.
Lantaran itu, taklimat IPO itu diadakan secara dalam talian oleh individu itu.
“Terpedaya dan yakin dengan kata-katanya, saya telah melabur wang ratusan ribu dalam keempat-empat syarikat yang disyorkan.
“Namun, saya mula rasa tidak selesa selepas kami tidak pernah dipanggil untuk sebarang mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat pelaburan itu. Selain itu, kami tidak pernah menerima sebarang laporan kewangan dan pengauditan tahunn mengenai pelaburan itu.
“Jika ditanya, dia cuba berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai tarikh untuk AGM namun sehingga kini segalanya tinggal janji” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, beliau hanya menyedari sesuatu tidak betul berlaku selepas terbaca berita salah seorang mangsa yang terpedaya dengan pelaburan syarikat berkenaan yang membawa kes ke mahkamah dan menang dalam saman tuntutan itu pada Jun lalu.
“Itulah yang menyebabkan saya mengadu kepada peguam dan segera membuat laporan polis di Brickfields,” tambahnya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang merupakan pensyarah universiti awam berkata, dia juga salah seorang pelabur yang terpedaya dalam skim pelaburan tersebut membabitkan wang bernilai RM100,000 dalam dua syarikat yang diperkenalkan oleh pemilik kelab bola sepak itu.
“Saya melabur pada 2021 dan sehingga kini dia tidak pernah memanggil dan menjelaskan kepada pelabur mengenai AGM dan pengauditan laporan kewangan. Saya juga terbaca kes yang membabitkan syarikat sama diheret ke mahkamah,” tambahnya.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili kesemua mangsa pelaburan itu Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, setakat ini tujuh laporan polis dan tujuh aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SS) serta lima aduan dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggesa siasatan dan tindakan segera tentang pelaburan ini.
“Malah berdasarkan pengakuan kesemua mangsa, mereka diberitahu bahawa syarikat-syarikat yang dilaburkan wang akan masuk dalam Bursa Malaysia pada 2023/2024 dan akan disenarai awam yang kemudian boleh membawa pulangan hasil banyak.
“Namun, mangsa mendakwa tiada sebarang AGM, serta pengauditan mengenai prestasi kewangan pelaburan itu diadakan oleh usahawan berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada para pelabur memandangkan situasi ini jelas berlaku perlanggaran terma kontrak dari segi undang-undang,
Akmal berkata, dia khuatir lebih ramai mangsa terpedaya dalam pelaburan tersebut.
Tambahnya, pelaburan demikian sudah menjadi trend sekarang hingga mengakibatkan rakyat menjadi mangsa kehilangan wang simpanan, justeru mahu jalan penyelesaian segera diambil oleh pihak berkuasa.
“Tujuan kami memaklumkan kepada media kerana bimbang lebih ramai lagi mangsa yang mungkin menjadi mangsa diperdaya dalam pelaburan ini, cuma mereka segan untuk tampil.
“Saya nasihatkan, jika anda merasakan diperdaya dan rugi dalam pelaburan ini sila tampil segera kepada kami agar satu langkah penyelesaian tetap dan tindakan polis dapat diambil segera,” tegasnya.-MalaysiaGazette