Rafizi.

SEBERANG PERAI – Cubaan penyokong Perikatan Nasional (PN) menyamakan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan ketua reformasi iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 disifatkan tidak masuk akal.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, bandingan itu hanya boleh dibuat sekiranya ada individu yang sepak, terajang (tendang) Muhammad Sanusi dalam proses tangkapan tersebut.

“Muhammad Sanusi ketika ini jejaka malaya paling glamour (terkenal). Tak masuk lokap cuma kena tahan dan didakwa terus nak disamakan dengan Anwar ketika 1998, lainlah kalau ada orang sepak terajang Muhammad Sanusi.

“Selain itu, tangkapan dan pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi bukan disebabkan Kerajaan Perpaduan dan rakan-rakan dalam kerajaan takut dengan dia tapi sebab mulut dia yang celupar.

“Jadi saya nak bagi tau, dia (Muhammad Sanusi) ini maharaja lawak untuk kita dan lagi lama dia kempen, lagi banyak undi kita dapat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Harapan Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya di sini, malam tadi.

Turut berucap pada ceramah itu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan beberapa pimpinan PKR pusat serta negeri.

Mengulas lanjut Rafizi mengingatkan Pengarah Pilihan Raya PN itu agar lebih berhati-hati percakapan berikutan bimbang berdepan situasi dimasukkan ke dalam lokap sekali gus berkemungkinan perlu mandi dalam keadaan bogel.

“Masa saya jadi pembangkang dulu, saya berdepan 14 kes mahkamah bila nak sampaikan suara kebenaran dan ada beberapa siasatan kes saya ditangkap sebelum dimasukkan dalam lokap.

“Ada dua, tiga hari dan paling lama lima hari di lokap. Ketika duduk dalam lokap tak tidur, makan semua tak apa cuma mandi saja masalah untuk saya kerana dalam lokap perlu mandi dalam keadaan bogel, sebab itu saya nasihatkan Sanusi untuk jaga mulut.

“Semalam dia bernasib baik sebab kena tahan kemudian didakwa terus tapi kalau tak jaga mulut, kena tahan sekali lagi dan dia berdepan situasi masuk lokap, jangan mandi sebab jika mandi kena bogel,” katanya secara berseloroh.

Dalam masa sama, Rafizi juga secara sinis menyatakan tiada ahli politik dalam PKR ditangkap atau didakwa atas kesalahan menghina institusi diraja.

“Pelik mereka (PN) yang menunjukkan diri sebagai parti memperjuangkan Melayu, Islam didakwa atas kesalahan menghina raja

“Kalau saya yang kata macam itu (memperlekehkan sultan) mesti Pas dah keluar berarak atas jalan hingga memerlukan saya kena masuk gua kerana takut untuk keluar.

“Saya nak nasihat lagi, kalau dia rasa dan nak jadi hebat, kacau, langgar itu ini tak ada masalah tapi kena bersedia terima akibatnya,” tegas Rafizi.

Semalam Muhammad Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara di sini, jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rafizi Ramli buat formula pulak.. betul-betul KELAINAN KES antara ANWAR IBRAHIM dengan SANUSI.. Kes ANWAR semua tahu hingga pengundi umur 18 tahun sekarang ni.. bebudak tu kata Biar betul dia boleh jadi PMX. FORMULA RAFIZI RAMLI betul yang Salah tidak akan berlaku PAS akan golekgelantang di jalanraya..

Comments are closed.