MELAKA – Sanggup membahayakan nyawa dan berbelanja ribuan ringgit demi memelihara ekosistem laut sekali gus menjamin sekuriti makanan di negara ini selain menjaga keindahan karang untuk tatapan generasi hadapan.
Itu pengorbanan yang boleh disifatkan hero tak didendang sekumpulan penyelam profesional apabila sanggup melakukan tugas membersihkan sampah sarap di dasar laut secara percuma sejak lebih 13 tahun lalu.
Bagi mereka, tugas sukarelawan itu memerlukan komitmen dan penglibatan lebih besar berbanding di daratan yang lebih mudah dan sering mendapat perhatian pelbagai pihak.
Diiktiraf Professional Association Diving Instructors (PADI) beribu pejabat di Australia, PADI divemaster, Suraya Sulaiman, 46, berkata, dia mula terlibat dalam aktiviti sukarelawan membersihkan sampah khususnya pukat hanyut di dasar laut itu sejak 2010.

“Saya melihat tak banyak program-program sebegini dianjurkan, malah penyertaannya juga agak kurang sebab itu saya sanggup menjadi sukarelawan untuk menyampaikan mesej kepentingan menjaga kebersihan laut dan pantai ini.
“Tugas sukarelawan di dasar laut ini terutamanya membersihkan pukat hanyut yang menutupi karang-karang penting bagi mengelakkannya mati kerana ia berkait rapat dengan jaminan sumber makanan harian kita.
“Apabila terumbu karang ini mati, ia akan menjejaskan hidupan habitat di situ seperti ikan, ketam dan kerang-kerangan menyebabkan rantaian makanan kita terputus,” katanya ketika ditemui di Taman Laut Melaka, Pulau Undan, di sini.
Sehubungan itu, pegawai hal ehwal pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam di Bangi, Selangor itu berharap semua pihak termasuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat memperbanyakkan lagi program pembersihan pantai dan dasar laut.
“Usaha sebegini perlu diperhebatkan lagi dan tidak hanya tertumpu pada gotong royong di darat semata-mata sedangkan 70 peratus daripada permukaan bumi adalah lautan yang sepatutnya juga diberi perhatian.
“Kita perlu memastikan perairan negara tidak tercemar sekali gus menjamin sumber bekalan makanan terbesar ini terus kekal terpelihara dan boleh dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Bagi jurulatih selam skuba, Mohd Noor Hamdi Abdul Azim, 47, berkata, set kelengkapan asas bagi selam skuba bagi melakukan aktiviti sukalewan itu sahaja sudah berharga RM3,000, tidak termasuk lain-lain kos seperti pengangkutan.
Namun, menurutnya yang berpengalaman 23 tahun dalam aktiviti selam skuba, terdapat risiko lain yang lebih berbahaya kepada penyelam laut dalam termasuk mati lemas.
“Pukat-pukat hanyut yang tersangkut di terumbu karang ini kebanyakannya sudah lama tersangkut dan terbelit di situ dan penyelam perlu berhati-hati membersihkannya supaya tidak terkena karang kerana ia boleh memudaratkan badan.
“Kami memerlukan tenaga yang kuat untuk membawa pukat-pukat ini ke atas bot, malah jika tidak berhati-hati, arus dasar laut yang kuat boleh menyebabkan penyelam terperangkap dalam jaring pukat itu sehingga lemas,” katanya.
Tambahnya, tugas membersihkan pukat pada terumbu karang perlu dilakukan dengan pendekatan berbeza mengikut kawasan selaman berdasarkan faktor suhu air, kedalaman dan arus.
“Paling penting, setiap penyelam tidak boleh panik berdepan situasi tidak dijangka sebab itu tugasan ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette.