Lori yang berada dalam premis ketika serbuan dilakukan oleh KPDN Selangor.

KUALA LUMPUR – Pergerakan keluar masuk lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah premis kawasan perindustrian di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya akhirnya membongkarkan aktiviti penyeludupan diesel subsidi.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor. Mohd Zuhairai Mat Radey berkata, premis yang ddijadikan stor simpanan minyak diesel itu telah diserbu malam tadi.

Operasi ini hasil daripada risikan yang dibuat selama dua bulan.

“Hasil serbuan mendapati, terdapat satu lori tangki berada di dalam kawasan premis disyaki sedang membuat pengisian minyak diesel dari dua buah tangki dalam premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sewaktu serbuan dibuat, didapati aktiviti menyedut minyak sedang berlaku oleh tiga suspek.

Premis haram yang dijadikan setor sorok dan seludup diesel subsidi menggunakan lori tangki dibongkar dan digempur kpdn selangor 18 Julai lalu. Ihsan KPDN Selangor

“Siasatan mendapati kesemua suspek warga asing termasuk Myanmar yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lewat 50-an dipercayai pemandu lori dan pekerja premis berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan Arahan Pengisytiharan Stok dan
Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 AKB 1961 telah dikeluarkan terhadap pekerja premis dan pemandu lori,”ujarnya.

Dalam serbuan sama, KPDN Selangor turut berjaya menyita pam penyedut minyak bermeter, hos getah, sebuah lori tangki yang membawa anggaran nilai rampasan melibatkan barangan dan kenderaan adalah sejumlah RM222,200.

“Sitaan melibatkan bahan api yang disyaki minyak diesel adalah anggaran sejumlah 56,000 liter dengan anggaran nilai sitaan RM121,217.00.

“Kes telah diambil terhadap premis dan pemandu lori di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta ini.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan, khususnya penyelewengan ke atas barangan bersubsidi. – MalaysiaGazette