Mustapha Sakmud

MELAKA – Kira-kira 300,000 pelajar lepasan menengah yang tidak berminat meneruskan pekerjaan dalam bidang kemahiran  dibimbangi merencatkan usaha kerajaan mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, segmen ekonomi gig atau pasaran kerja buruh kontrak dilihat menjadi ‘ancaman’ kerajaan ketika ini apabila ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih sektor itu.

“Mengikut rekod daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, lebih kurang 300,000 pelajar lepasan SPM kita tidak mahu melanjutkan pekerjaan ke peringkat lebih tinggi yang kemungkinan akibat pengaruh ekonomi gig ini.

“Sasaran kita adalah adalah melahirkan 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, namun setakat ini kita masih di tahap 28 peratus dan ini agak membimbangkan kerana tenaga mahir yang tak mencukupi untuk mencapai negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Khalid Jali.

Mengulas lanjut Mustapha berkata, antara usaha dilakukan untuk menggalakkan generasi muda mendapatkan sijil dalam bidang kemahiran adalah dengan mempromosikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ini kerana hanya dengan mempunyai sijil daripada TVET ini, ianya akan kekal dan boleh digunakan sampai bila-bila berbeza dengan gig ekonomi yang dipacu teknologi digital.

“Hanya dengan tenaga mahir yang mencukupi baharulah kita dapat menggerakkan industri-industri negara dan usaha ini memerlukan penglibatan semua kementerian, sekolah dan ibu bapa untuk memberi kesedaran kepada generasi muda hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette.