Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati mengamalkan birokrasi dan pilih bulu dalam menjalankan siasatan kes.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, peringatan tegas itu diberikan kerana masyarakat memerhati dan menilai PDRM berdasarkan kebolehupayaannya membendung jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa penjenayah.

“Ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan sebijak-bijaknya.

“Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan seterusnya yang paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman pagi hari ini.

Sehubungan itu, tambah Razarudin, PDRM harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawainya bagi memastikan kualiti pencegahan jenayah dan penindasan jenayah sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Di sini saya nak tegaskan bahawa saya juga tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengamalkan birokrasi
dan ‘pilih bulu’ dalam proses siasatan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam perhimpunan bulanan itu adalah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pengarah-pengarah Jabatan di Bukit Aman. – MalaysiaGazette