MELAKA – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.31 petang.
“Kita menerima panggilan mengatakan terdapat seorang pelajar perempuan tingkatan satu berusia 13 tahun dipercayai terjatuh dari kelasnya di tingkat dua bangunan sekolah.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, didapati mangsa lengkap berpakaian sukan sekolah dan hanya berstokin dalam berkeadaan tertiarap di jalan dengan kesan darah pada kepala, akibat jatuh dari tingkat dua,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati bangunan kelas sekolah berkenaan mempunyai tiga tingkat dan kelas mangsa berada di tingkat dua.
“Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua memandangkan kasut simati ada ditinggalkan di kaki lima aras berkenaan namun tiada saksi bebas yang melihat sama ada simati terjun atau terjatuh.
“Motif kejadian masih lagi dalam siasatan dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette.