KUALA LUMPUR – Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) merupakan anugerah berprestij yang sering kali ditunggu oleh setiap peminat akan berlangsung malam ini.
Anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 1987 ini adalah berdasarkan kepada undian peminat yang mengiktiraf penggiat seni tanah air.
Malah, artis yang tercalon dalam setiap kategori adalah merupakan hasil usaha keras peminat yang mengundi.
Namun tahun ini siapa sangka, setelah tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni, Bell Ngasri atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berjaya menempatkan diri sebagai lima calon pemenang bagi anugerah Artis Komedi Popular, ABPBH ke-35.
Pencalonan Bell Ngasri menjadi tular apabila dia dikatakan tidak pernah memenangi mana-mana anugerah sepanjang penglibatannya dalam dunia seni. Malah kempen undian untuk bapa kepada tiga anak itu menjadi fenomena di media sejak kebelakangan ini.
Ramai mahu melihat Bell Ngasri meraih kemenangan bagi kategori Artis Komedi Popular sekurang-kurangnya kerana dia seorang pelakon versatil kerana mampu membawa watak antagonis (jahat), protagonis (watak teraju) selain watak tritagonis (watak ketiga yang jujur dan kelakar) dengan baik.
Malah pada sidang media prakemuncak ABPBH 35 baru-baru ini, Bell Ngasri, 43, yang terkenal dengan watak Barkoba iaitu lelaki yang malas puasa dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa diumumkan antara 10 artis meraih undian terkumpul tertinggi ketika itu.
Selain Bell yang sudah tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, sembilan artis lain yang mendahului undian Top 5 adalah Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.
Jadi teka-teki siapa juara dalam kalangan 12 pemenang kategori utama Anugerah Bintang Popular BH yang disiarkan secara langsung TV3 dan strim ‘live’ Tonton dari lokasi ikonik, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bakal terjawab malam ini. – MalaysiaGazette