KUALA LUMPUR- Dagangan saham 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. digantung sementara hari ini dari jam 2.30 petang hingga 5 petang, susulan pengumuman berhubung satu transaksi yang akan dibuat tidak lama lagi.
Perkara itu dinyatakan pengendali kedai serbaneka itu dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia, hari ini.
Sebelum digantung, saham 7-Eleven Malaysia ditutup tujuh sen atau 3.29 peratus lebih tinggi pada RM2.20 dengan nilai syarikat RM2.58 bilion.
Terdahulu,media melaporkan, syarikat farmasi BIG Pharmacy Group Bhd. telah memeterai perjanjian dengan 7-Eleven Malaysia untuk membeli Caring Pharmacy Group pada harga RM900 juta.
Menurut sumber, BIG Pharmacy yang merupakan pembida ketiga tertinggi berjaya memenangi Caring Pharmacy selepas rundingan 7-Eleven Malaysia dengan dua lagi pembida iaitu dana ekuiti swasta yang berpangkalan di Amerika Suarikat, Carlyle Group dan firma penasihat pelaburan berpangkalan di Luxemborg, CVC Capital Partners gagal.- MalaysiaGazette