REE sanusi
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tidak gentar untuk menghadapi cabaran dan serangan kerana beliau daripada keturuan panglima.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau adalah daripada keturunan Panglima Ibrahim Mekong yang telah berjuang dan membangunkan keupayaan sara diri menerusi kegiatan pertanian dengan gigih dan tekun.

“Kami ni keturunan Panglima Ibrahim Mekong. Saya generasi yang ketujuh. Mak saya generasi yang ke enam. (Almarhum) Tok Guru Haji Salleh (Musa) apa semua ni adik-beradik mak sayalah,” katanya memetik laporan Harakahdaily.

Sanusi berkata demikian pada majlis Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman di Dewan Al-Hana di Sik, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri ibunya, Meriam Ahmad.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Ibrahim Mekong adalah panglima besar berasal dari Thailand dan memeluk Islam yang mana peperangan telah menyebabkan keturunannya sampai ke daerah Sik.

Katanya, salasilah keturunan memenuhi Utara Perak sampai ke Selama di mana ramai Panglima masa lalu di Larut dan Penghulu-penghulu besar juga daripada waris Ibrahim Mekong.

Sanusi yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Terbaharu, Sanusi memaklumkan telah menghantar surat tuntutan terhadap Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ia berikutan Setiausaha Agung PKR itu menuduh beliau mencuri unsur nadir bumi (REE) di Sik dan menyalahgunakan wang peruntukan MARRIS. – MalaysiaGazette