Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi bertitah mengingatkan pihak pentadbir masjid dan surau di negeri itu supaya tidak membenarkan rumah ibadat itu menjadi medan propaganda dan politik kepartian.

Baginda memberi peringatan itu menerusi teks khutbah Jumaat yang dibaca oleh khatib agar sebarang bahan penerbitan berunsur politik tidak boleh dibiarkan sebarannya di kawasan masjid serta surau.

Apatah lagi membenarkan tokoh politik menggunakannya untuk tujuan politik kepartian.

Menurut khutbah itu, baginda mengingatkan kepada pihak tertentu bahawa masjid dan surau adalah zon aman serta bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian demi memelihara keharmonian umat Islam yang mengerjakan ibadah.

“Berilah peluang kepada ahli kariah masjid dan surau untuk dapat beribadat dan mengikuti pengajian dengan tenang dan aman.

“Sebarang pencerobohan dan ketidakpatuhan terhadap perkara ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” titah baginda yang disampaikan khatib menerusi mimbar Jumaat, hari ini.

Teks khutbah Jumaat yang diterbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bertajuk, Dosa mengumpat dan mencaci.

Sesiapa yang melanggar ketetapan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Malah, pegawai yang terlibat juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS mengikut Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Dalam khutbah itu, Sultan Selangor sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus dalam perbuatan terkutuk dan tercela itu.

Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.

“Perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah setiap kali menjelang pilihan raya, seolah musim pilihan raya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun yang baru lalu bahawa isu berkaitan dengan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.

“Baginda menegaskan perkara ini agar perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di Negara ini tidak terjejas,” menurut isi teks khutbah itu.

Mimbar Jumaat juga turut mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukan lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

“Ingatlah dan takutlah akan seksa Allah SWT yang amat perit yang menanti di akhirat kelak, janji Allah SWT untuk menghukum dan menyeksa mereka yang mengumpat dan memfitnah adalah benar dan tidak boleh sama sekali kita anggap remeh.

“Oleh itu, mimbar berpesan agar calon serta penyokong yang berkempen tidak mengambil kesempatan memburuk-burukan mana-mana orang atau golongan tertentu dan sering menyalahkan orang lain.

“Berkempen dan berceramahlah dengan berhemah dengan menggariskan polisi-polisi yang akan dibawa untuk membantu rakyat mengatasi segala permasalahan yang dihadapi mereka,” kata khutbah itu.

Mimbar juga mengingatkan calon agar perlu menilai keupayaan dan prestasi diri masing-masing sepanjang perkhidmatan kepada rakyat dan seharusnya memikirkan bagaimana untuk memperbaiki ekonomi serta keharmonian masyarakat di bawah pimpinan mereka.

“Setiap sesuatu yang baik yang ada pada pihak lawan perlulah diambil sebagai contoh untuk diteladani bagi mempertingkatkan prestasi diri demi memanfaatkan masyarakat yang dipimpin khususnya umat Islam.

“Kepada calon yang bakal menjadi pemimpin terutama pemimpin Islam, agama Islam memberi panduan dan mengingatkan kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kedudukan, pangkat dan kuasa untuk kepentingan diri atau kepentingan golongan tertentu.

“Apabila pemimpin Islam tidak mempunyai sifat amanah dan jujur maka akan rosaklah masyarakat yang dipimpinnya hingga mengakibatkan penganut agama lain memandang rendah terhadap pemimpin Islam,” kata khutbah itu. – MalaysiaGazette