KAJANG – Sekumpulan warga Bangladesh yang kecoh di sebuah poliklinik di Taman Saujana Impian di sini sehingga tular di media sosial semalam bukan melakukan serangan ke atas wanita.
Sebaliknya, mereka bergaduh sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu melibatkan dua kumpulan warga Bangladesh yang dibawa oleh ejen bersaingan.
Menurutnya, polis menerima laporan kejadian itu lebih kurang 8.23 malam tadi daripada seorang doktor.
Dalam laporan itu, doktor berkenaan mendakwa lebih kurang 6 petang, klinik tersebut didatang dua kumpulan warga asing disyaki Bangladesh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Kedua-dua kumpulan pekerja asing ini telah dibawa oleh dua ejen yang berlainan juga warga Bangladesh dengan menaiki dua kenderaan berbeza.
“Semasa kedua-dua kumpulan warga Bangladesh itu berada di hadapan poliklinik, secara tiba-tiba berlaku pertengkaran antara mereka hingga kedua-dua kumpulan itu mengeluarkan beberapa batang kayu hoki,” katanya dalam kenyataan di sini.
Situasi menjadi semakin tegang apabila berlaku tolak menolak antara dua kumpulan warga asing itu.
“Salah seorang daripada warga asing dari kumpulan itu terus masuk ke dalam poliklinik tersebut menyebabkan staf poliklinik berkenaan menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing itu dari klinik tersebut,” tambahnya.
Susulan kejadian itu, pada jam lebih kurang 1.15 pagi tadi sepasukan polis dari cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuat serbuan di kawasan Sentul dan Setapak di ibu negara.
Hasil serbuan pasukan berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun.
Kesemua suspek menerusi soal siasat polis mengaku terlibat dalam insiden pergaduhan hadapan poliklinik tersebut.
Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang sekitar jam 9 pagi tadi untuk mendapatkan direman selama empat hari sehingga 24 Julai ini untuk membantu siasatan lanjut polis.
Mohd Zaid berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.-MalaysiaGazette