Fahmi Fadzil semasa mengadakan pertemuan dengan penganjur Ffestival Good Vibes 2023 sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Rentetan insiden tidak senonoh yang berlaku dalam program Festival Good Vibes 2023 di Litar Sepang, semalam, kerajaan mengarahkan baki program berkenaan yang bakal diadakan esok dibatalkan.

Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengeluarkan arahan tersebut terhadap penganjur program terbabit dalam perjumpaan pagi tadi.

“Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia pagi tadi, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK “The 1975” di Sepang malam tadi.

Artikel berkaitan: Penganjur konsert The 1975 dipanggil polis petang ini

“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

“Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Instagram rasmi beliau tengah hari tadi.

Fahmi berkata, pihaknya memahami bahawa keputusan berkenaan akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket.

Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket susulan arahan pembatalan itu.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.

“Bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” tegas Fahmi lagi dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

Vokalis The 1975 sangat biadab hina undang-undang ‘LGBT’ Malaysia – Fahmi