KUALA LUMPUR – Fahmi Fadzil menyifatkan aksi bercium vokalis kumpulan The 1975 bersama pemain bassnya pada konsert di ‘Good Vibes Festival 2023’ di Litar Antarabangsa Sepang malam tadi satu tindakan biadab.
Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, vokalis Matty Healy turut didakwa menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia sewaktu melakukan persembahan tersebut.
“Ini satu tindakan yang sangat biadab. Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan esok, dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” katanya menerusi hantara di Twitter.
Malam tadi, persembahan kumpulan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Sepang dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Matty yang terkenal dengan aksi biadab ketika mengadakan persembahan turut didakwa memegang botol arak ketika di atas pentas, selain meludah serta melakukan aksi kurang sopan.
Bukan itu sahaja, Matty turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT sebelum bertindak mencium pemain bassnya, Ross Mcdonalds di atas pentas.
“Saya tak nampak alasan kenapa mengajak kami The 1975 ke negara ini dan memberitahu dengan siapa kami patut melakukan hubungan seks,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika dipertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka telah disekat daripada meneruskan konsert di Malaysia.
Matty kemudiannya meninggalkan pentas sebelum diikuti oleh anggota The 1975 yang lain dan krew mereka. – MalaysiaGazette