Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Mini Sungai Besar, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2023.

SUNGAI BESAR – Ahli-ahli politik tidak sepatutnya mengheret institusi diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dalam perbincangan politik kerana kedudukan dan martabat Raja-raja Melayu berbeza dengan rakyat.

Perdana Menteri itu menegaskan, kedaulatan institusi beraja seharusnya dijunjung semua pihak.

“Kita semua ada Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong. Jangan samakan Raja dengan kita. Raja tak boleh cakap dan kempen macam ini, Raja jaga taraf baginda.

“Sebab itu kita kata kedaulatan ke bawah Duli Yang Maha Mulia, jadi jangan heret Raja dalam perbincangan kita,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Sentuhan Kasih Desa di Kompleks Stadium Sungai Besar, hari ini.

Sambil membidas pembangkang, Anwar berkata, setiap hari beliau dicaci dan dihina namun beliau tidak mengambil tindakan.

“Tapi kalau cerca dan singgung Raja, nasib kamulah,” tambahnya.

Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak terlibat dalam pendakwaan dan tindakan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini ekoran kenyataanya berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

“Siapa yang buat laporan, Dewan DiRaja Selangor. Bolehkah mereka buat laporan tanpa perkenan Ke Bawah Duli Sultan Selangor? Tidak.

“Kemudian Ketua Pas Selangor mengadap Sultan Selangor minta ampun. Apa jawab Tuanku? Tuanku bertitah belum selesai, kemudian (Sanusi) ditangkap dan didakwa. Apa salah perdana menteri pula ni? Sudah tiada modalkah?

“Pandai cakap, tanggunglah, hebat sangat,” katanya sambil menambah mana-mana pihak tidak seharusnya menyinggung Raja-raja Melayu, atau harus menanggung tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Muhammad Sanusi ketika ceramah Perikatan Nasional (PN) di Selayang baru-baru ini dilaporkan memperlekehkan pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor.

Beliau didakwa membuat perbandingan antara Sultan Kedah (Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) dan Sultan Selangor dan mengatakan pilihan Sultan Sharafuddin adalah ‘cokia’.

Susulan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM5,000.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mencetuskan ketidaksetiaan terhadap Raja-Raja.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semakin bertambah2 kasih dan sayang rakyat jelata kepada MB Kedah.

    Sejarah Merong Mahawangsa adalah sejarah terhebat. Lembah Bujang juga menyimpan sejarah terhebat!

    Satu2nya pemimpin yang berani bercakap berkenaan sejarah Kedah. Yang lain nak bercakap berkenaan sejarah pun sudah takut, apatah lagi nak bercakap berkenaan sejarah komunis dinegara ini. Ada yang dakwa itu rasis? Generasi muda pula ramai yang sudah tak tahu tentang sejarah negara pra kemerdekaan?

Comments are closed.