Polis siasat kejadian bungkusan meletup sehingga mengakibatkan seorang wanita cedera di sebuah restoran di Pantai Cenang, Langkawi.

LANGKAWI – Seorang pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) cedera selepas membuka satu bungkusan di belakang sebuah restoran di Pantai Chenang di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu mengakibatkan wanita berusia 26 tahun tersebut mengalami kecederaan pada muka dan badan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan mendapati mangsa menyewa bahagian belakang sebuah restoran dengan mengusahakan kedai makan.

Unit K9 turut digegaskan ke lokasi bagi membantu siasatan.

Jelasnya, mangsa dikatakan cuba membuka satu bungkusan selepas melihat objek tersebut.

“Bagaimanapun, bungkusan itu telah meletup sehingga mencederakan bahagian muka dan badannya.

“Mangsa dikejarkan ke hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta stabil,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Shariman, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif serta suspek yang terlibat.

“Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast