KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan, petang semalam.
Perkara itu dikongsikan anak lelaki Nik Aziz, Nik Mohamad Abduh menerusi hantaran di Facebooknya.
Kehadiran bekas Ahli Parlimen Langkawi itu disambut oleh ahli keluarga Nik Aziz termasuk Nik Mohamad Abduh.
Dr Mahathir dikatakan meluangkan masa bertanyakan khabar bersama beberapa waris keluarga termasuk Ahmad Dusuki Abd Rani.
Kehadiran Dr Mahathir ke Kelantan sempena ‘Munajat Rakyat Kelantan, Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan’ di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Sementara itu, Ahmad Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kehadiran Dr Mahathir ke rumah Nik Aziz disifatkan sebagai satu peristiwa bersejarah.
Katanya, lebih bersejarah lagi apabila Dr Mahathir turut bersolat Asar secara berjemaah bersama dengan jemaah yang diimamkan oleh Nik Abduh.
“Moga Allah merahmati setiap usaha penyatuan ummah Islam di bumi Malaysia ini. Saya menumpang rasa gembira di atas nikmat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette