Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau dikenali Altimet merupakan satu-satunya selebriti mewakili parti PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos ini.

Penyanyi itu akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Parlimen Ampang.

“Saya telah diberi tugas oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjadi penyelaras di Lembah selama sembilan bulan sebelum DUN bubar, saya berpeluang mengenali gerak kerja seorang ADUN, mendekati orang di sana, hati saya di Lembah Jaya.

“Saya juga sudah berhenti buat persembahan sejak 2019, saya anggap itu sebagai pekerjaan untuk mencari rezeki, tetapi dari segi minat, saya masih berminat menulis lagu sehingga sekarang,” katanya yang juga Ketua Cabang Ampang.

Anak kelahiran Petaling Jaya merupakan antara 11 muka baharu yang diketengahkan PKR pada PRN di enam negeri.

Dalam pada itu, Altimet yang merupakan orang seni mahu berkhidmat untuk penggiat seni tanah air andainya menang pada pilihan raya itu.

“Menang atau tidak, itu datang dari Allah SWT, apa yang saya yakin 100 peratus adalah usaha yang keluar daripada badan saya sendiri itu yang saya yakin saya akan pergi lebih daripada 100 peratus.

“Misi dan visi adalah untuk melahirkan satu kawasan mesra untuk pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Sesuai untuk kanak-kanak membesar, ibu bapa mencari rezeki dan menjaga anak-anak serta untuk datuk dan nenek bersara dan menghabiskan masa mereka di Ampang,” ujarnya.

PKR yang membariskan calon 58 daripada 245 kerusi yang dipertandingka pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. – MalaysiaGazette