Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap ketika ke Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Zon Tengah Negeri Selangor 2023 di Dewan Annex, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Calon PKR yang bakal bertanding di kerusi Dewan Negeri Permatang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor bukan tergolong dalam kalangan kluster mahkamah.

Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil berkata, walaupun calon PKR itu pernah dijatuhi hukuman penjara dan sebat sebelum ini, namun individu tersebut kini tiada halangan untuk bertanding.

“Itu bukan takrif kluster mahkamah, ia macam orang yang sedang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan hasutan contohnya.

“Ataupun kes melibatkan Jana Wibawa. Bagi saya itu (kes calon PKR) telah selesai.

“Apa pun bagi Keadilan dan semestinya Pakatan Harapan (PH), saringan calon ini (dibuat dengan ketat),” katanya kepada pemberita di Dewan Annex, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Semalam, PKR mengumumkan 20 calonnya bagi menghadapi PRN di Selangor, 12 Ogos ini.

Antaranya kerusi Dewan Negeri Permatang yang sebelum ini dimenangi Rozana Zainal Abidin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) digugurkan pada PRN ke-15.

Bagaimanapun PKR meletakkan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri sebagai calon di kerusi Dewan Negeri Permatang pada PRN kali ini.

Sebelum ini, Mohd Yahya yang juga bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu pada 4 Mac 2016.

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menolak rayuan Mohd Yahya berkaitan sabitan kesalahan terhadapnya, hukuman penjara dan sebatan bagi pertuduhan pertama menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Abdul Karim Munisar.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Abdul Karim dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat sedang mencari penaja bagi sambutan 100 hari pakatan pembangkang itu memerintah dan dengan curangnya mendorong beliau untuk memberi kepadanya RM50,000 sebagai sumbangan, di Gardenia Coffee House Hotel Quality di Shah Alam pada 4 Jun 2008.

Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Mohd Yahya atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun bagi Parti Keadilan Rakyat Selangor”, sebagai tulen di sebuah bank di Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Keputusan sebulat suara panel hakim itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhaliwal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. calon PKR kena penjara kena sebat.. ini KES BERAT. Fahmi Fadzil perlu jawab berapa quote “PENJENAYAH” disediakan untuk PRN 6 NEGERI ini… Hoi Hoi Yahoi ZAHID HAMIDI senyum-senyum tu….

Comments are closed.