Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap ketika ke Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Zon Tengah Negeri Selangor 2023 di Dewan Annex, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memuji tindakan pantas pengendali media sosial TikTok kerana memadam satu kandungan berbaur ugutan dengan senjata terhadap seorang ahli politik, baru-baru ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kandungan TikTok tersebut merupakan sesuatu yang tidak sihat dan ia tidak wajar disebar di media sosial untuk tontonan umum.

“Alhamdulillah konten tersebut telah diturun oleh pihak TikTok sendiri

“Ia agak merisaukan kerana memberi bayangan seolah-olah ada tindakan yang boleh kita anggap sebagai cubaan mengugut dengan meletakkan beberapa gambar seorang ahli politik atas peranti.

“Di sekeliling peranti (atas) meja pula ada beberapa orang yang tegap badannya dan di satu sudut meja itu terdapat kapak dan keris.

“Ini bagi saya adalah konten yang sangat tidak sihat tapi telah diambil tindakan oleh TikTok,” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Selain itu, Fahmi mengakui bahawa pihaknya agak menghadapi sedikit kesukaran untuk mengesan kandungan seumpama itu dan perlu ada mekanisme tertentu untuk memantaunya.

“Salah satu isu yang kita hadapi ialah kadang-kala konten di TikTok telah mempunyai tanda pagar (hashtag) atau teks yang mudah dicari.

“Maka perlu ada satu sistem yang berbeza untuk membuat sama ada pemantauan atau pengesahan konten tersebut.

“Itu antara sebab kenapa kita akan mengadakan satu pertemuan dengan pihak Bukit Aman bersama agensi-agensi yang terlibat bagi memantapkan unit pemantauan media sosial khusus bagi isu 3R,” katanya.

Ditanya tentang sebarang kertas siasatan sudah dibuka terhadap pemilik akaun TikTok terbabit, beliau bagaimanapun mengesahkan masih tiada setakat ini.

“Setakat ini belum, tapi mungkin boleh dirujuk kepada pihak Bukit Aman,” katanya. – MalaysiaGazette