KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan adik kepada ahli perniagaan, Nicky Liow Soon hari ini daripada pertuduhan tidak mengemukakan cukai pendapatan secara betul antara tahun 2017 dan 2020.

Untuk makluman tertuduh juga telah mengemukakan cukai pendapatan yang didakwa terlibat dengan transaksi hasil wang haram selama tempoh tersebut.

Tertuduh, Liow Wei Kin dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman selepas dimaklumkan tertuduh sudah membayar kesemua kompaun berjumlah RM4.174 juta melibatkan lapan pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh telah memohon Wei Kin dilepas dan dibebaskan dengan kesemua wang jaminan dipulangkan dan  dilepaskan daripada semua syarat jaminan.

Hakim membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin telah memohon kesemua pertuduhan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu dibatalkan.

Mahkamah dimaklumkan satu persetujuan penyelesaian dicapai melibatkan satu kompaun yang telah dibayar pada 3 Julai lalu dengan Kerajaan Malaysia.

Wei Kin berdepan tiga pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul dengan meninggalkan pendapatan berjumlah RM2,672,500  juta yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM686,376.45 bagi tiga tahun taksiran bermula 2017 hingga 2019.

Dia juga berdepan satu pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan yang diperuntukkan di bawah subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2016, tanpa alasan yang munasabah dan melakukan suatu kesalahan subseksen 112(1) akta yang sama.

Tertuduh juga melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan RM779,894.95 dan melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1) akta tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast