KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak yang berlari melintas jalan secara tiba-tiba telah meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan SS 9A/8, Sungai Way, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pukul 5.30 petang itu melibatkan mangsa dengan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail.
“Mangsa telah dikenalpasti sebagai seorang kanak-kanak lelaki warga asing berusia empat tahun. Semasa kejadian, sebuah kereta pacuan empat roda melalui laluan itu sebelum secara tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak berlari melintas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terkejut kemunculan kanak-kanak berkenaan tidak sempat membrek untuk memberhentikan kenderaan dan terlanggar mangsa.
Akibat perlanggaran itu kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
“Namun pejalan kaki kanak-kanak itu telah meninggal dunia di PPUM semasa menerima rawatan. Berikutan insiden itu polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Manakala pemandu bersama kenderaan pacuan empat roda itu telah ditahan dan dibebaskan dengan jamin polis selepas selesai merakam keterangan mengenai kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, mana-mana individu yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-253 6820 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette