Rahmat Ariffin Foto: FB Polis Daerah Iskandar Puteri.

KUALA LUMPUR – Seorang penonton patah hidung selepas mendakwa dipukul oleh Johor Military Force (JMF) ketika menonton perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu lalu.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur pada pada jam 11.50 pagi semalam.

“Mangsa yang mengesyaki telah dipukul oleh Johor Military Force (JMF) telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keadaan mangsa baik dan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, doktor juga telah mengesahkan mangsa mengalami pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian ini tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya. – MalaysiaGazette