KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Syed Bahari Ramadzan Syed Adnan daripada Jabatan Fizik Universiti Malaya (UM) telah membangunkan bateri berkeadaan pepejal natrium pertama menggunakan elektrolit seramik yang berasaskan tanah liat jenis Halloysite.
Menurutnya, permintaan untuk bateri berkeadaan pepejal makin meningkat buat masa sekarang idorong oleh keperluan untuk keselamatan yang lebih baik, kadar hayat yang lebih tinggi dan mesra alam sekitar bagi memenuhi keperluan sebagai bateri moden.
Elektrolit seramik juga sedang dikaji secara intensif sebagai bahan utama untuk mengatasi isu keselamatan bateri ion polimer yang tidak mampu bertahan pada keadaan suhu yang tinggi dan juga sebagai solusi kepada elektrolit cecair
organik yang mudah terbakar.
Projek ini berkolaborasi dengan Pembantu Professor, Dr Eric McCalla daripada Jabatan Kimia Universiti McGill, Montreal Kanada dan Prof Dr. Alajendro Varez Al Varez daripada Jabatan Sains Bahan dan Kejuruteraan, Universidad Carlos III de Madrid, Sepanyol.
Kajian inovasi hijau ini telah dimulakan dengan menggunakan Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS) daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2019.
Selain itu juga, hasil penemuan ini juga telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai paten penyelidikan pada tahun 2020.
Syed Bahari berkata, kerja-kerja penyelidikan bermula di Makmal Penyelidikan Elektrokimia dan Peranti (EMD) di Universiti Malaya dengan pengekstarakan unsur silicon (Si) daripada tanah liat dan digabungkan dengan unsur lain melalui proses “Sol Gel” untuk menghasikan bahan elektrolit seramik Sodium Zinc Silicate daripada keluarga “Konduktor Superionik Lithium” (LISICON).
Dengan menggunakan teknologi canggih yang dikenali sebagai “high-throughput” di Universiti McGill, bahan tersebut telah diubahsuai dengan penggantian unsur-unsur lain untuk menghasilkan kekonduksian ionik yang tinggi.
Walau bagaimana pun, usaha penyelidikan masih lagi dijalankan untuk memastikan kesesuaian dan kestabilan penggunaan elektrolit ini bersama bahan elektrod demi mencapai prestasi dan kadar hayat yang lebih lama.
Selain dapat bertahan pada suhu yang lebih tinggi (melebihi 300 darjah selsius), elektrolit bateri berasaskan tanah liat ini juga dapat menyumbang kearah kelesterian teknologi hijau.
Katanya, penggunaan tanah liat yang murah dan mesra alam sekitar adalah amat bertepatan dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Negara 2017-2030 yang diperkenalkan oleh kerajaan yang mana salah satu teras strategik dalam Polisi Teknologi Hijau Negara adalah bertujuan untuk mempergiatkan penyelidikan dan Inovasi teknologi hijau.
Syed Bahari berkata, permintaan untuk bateri berkeadaan pepejal makin meningkat buat masa sekarang idorong oleh keperluan untuk keselamatan yang lebih baik, kadar hayat yang lebih tinggi dan mesra alam sekitar bagi memenuhi keperluan sebagai bateri moden. – MalaysiaGazette