Serbuan Operasi Noda di sebuah pusat hiburan di sekitar bandar Tawau, Sabah pada Sabtu lalu. Foto Ihsan Polis Tawau

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis menerusi serbuan Operasi Noda di sebuah pusat hiburan di sekitar bandar Tawau, Sabah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 2.15 pagi oleh sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Ketika Op Noda dijalankan pegawai telah melihat sebuah premis yang beroperasi memainkan muzik yang sangat kuat. Hasil pemeriksaan terdapat sembilan orang pelanggan berada di dalam premis terbabit dan suspek yang bekerja sebagai deejay ditahan.

“Malah didapati menjalankan aktiviti hiburan awam lebih masa yang telah ditetapkan dalam syarat lesen premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi Noda di sebuah pusat hiburan di sekitar bandar Tawau, Sabah pada Sabtu lalu. Foto Ihsan Polis Tawau

Tambah Jasmin, polis turut merampas beberapa peralatan muzik serta barangan elektronik dan kes disiasat dibawah Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 (Sabah No.23 Of 1958).

Susulan itu, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang, boleh menghubungi Hotline Polis Tawau di talian 089-772121 di Facebook IPD Tawau atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette