KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima 366 pelajar sempena pendaftaran kemasukan pelajar Diploma Perikanan dan Asasi STEM Sesi 2023/2024 semalam.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Hepa), Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, proses pendaftaran dan kemasukan pelajar berjalan lancar dan tersusun seperti yang dirancang.
Sseawal jam 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di perkarangan Kolej Kediaman dan disambut oleh para petugas.
Mohd Izani bersama-sama turun padang sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa serta turut meninjau suasana kemasukan di Kolej Kediaman.
Ketika ditemubual, beliau berharap para pelajar cepat untuk menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.
“Perkara yang membanggakan apabila maklum balas yang diterima daripada pelajar rata-rata menyatakan UMT adalah pilihan pertama mereka dan ini menggambarkan UMT menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.
Sementara itu pelajar Asasi STEM, Loheedaj A/L Ajay, 18, dari Pulau Pinang berkata, keputusannya untuk menyambung pelajaran di UMT adalah pilihan tepat kerana ia merupakan impiannya sejak dahulu dan dia telah membuat kajian terperinci tentang jurusan yang ditawarkan di UMT.
Apatah lagi Loheedaj amat meminati bidang sains marin dan UMT antara universiti terbaik yang menawarkan jurusan tersebut.
Dalam masa yang sama Nur Edleena binti Mohamad Syukor, juga dari Pulau Pinang bersyukur kerana telah ditawarkan pengajian dalam Diploma Perikanan di sini.
Keterujaan beliau mendaftar di UMT ditemani keluarga adalah sesuatu yang sukar digambarkan apatah lagi suasana kampus yang amat menarik dan berada di persisir pantai yang bersih membuatnya makin teruja.
“Insya Allah saya bertekad untuk meneruskan kecemerlangan di UMT memandangkan UMT di antara universiti yang terbaik di Malaysia selain mempunyai fasiliti lengkap dan menyediakan kemudahan yang baik serta mempunyai pensyarah yang hebat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.” katanya yang merupakan antara 366 pelajar baharu bagi program Diploma Perikanan dan Asasi STEM 2023/2024.
Untuk rekod, seramai 294 pelajar Asasi STEM dan 72 pelajar Diploma Perikanan telah mendaftar masuk pada hari ini di UMT. – MalaysiaGazette