Sebarang ketirisan dan salah laku sepanjang proses perolehan aset adalah sesuatu yang tidak akan sesekali dikompromikan.

KUALA LUMPUR – Kes dera secara fizikal yang didakwa berlaku ke atas sekumpulan askar junior di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kementerian Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia (ATM) berkata, pihaknya juga  telah mengarahkan siasatan dalaman dibuat dan dipantau bagi mengenal pasti mereka terlibat dalam kes tersebut.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak PDRM. Justeru masyarakat dinasihatkan ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” kata kenyataan yang mengulas dakwaan sekumpulan individu yang didakwa didera secara fizikal di sebuah kem askar baru-baru ini.

Kejadian itu kali pertama dilaporkan berlaku pada 18 Julai lalu dan berlarutan beberapa hari.

Akibat kejadian itu, mereka yang dibuli didakwa mengalami kecederaan pada anggota badan.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan itu berkata, pihaknya  memandang serius mengenai isu dera dalam kalangan warga ATM dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak.

Tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak yang sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette