Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).-Foto MIRUL SHAUFIQ, 15 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos bagi memutuskan tarikh pilihan raya kecil (PRN) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pilihan raya tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Katanya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai.

Suruhanjaya itu juga telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Fuad Zarkashi berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri Simpang Jeram hari ini.

“SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 3 Ogos 2023. Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

“Di mana tarikh-tarikh penting PRK Parlimen P.161 Pulai dan PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang- Undang Tubuh Kerajaan 1895 memperuntukkan kekosongan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi.

Ahli Parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan sejak itu diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi.

Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, malam Ahad lalu.

Ahli politik berusia 61 tahun itu meninggalkan balu Fatimah Taha, enam orang cahaya mata dan 11 cucu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Kampung Serkat di Pontian, Johor. – MalaysiaGazette