KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan sebanyak 35 pingat pada Kejohanan World Police dan Fire Games 2023 di Winnipeg, Kanada pada 28 Julai hingga 6 Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penyertaan PDRM pada kejohanan yang memasuki edisi penganjuran ke-15 itu kali ini terpaksa dihadkan kepada dua acara.
“Atas kekangan tugas khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, penyertaan PDRM pada kejohanan kali ini hanya membabitkan dua acara sukan sahaja iaitu badminton dan olahraga dengan kekuatan 20 atlet yang akan mengambil bahagian.
“Bagi edisi tahun ini, PDRM tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik untuk mengatasi jumlah pungutan pingat yang diperoleh pada tahun 2022 di Rotterdam, Amsterdam iaitu 125 pingat,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Ayob Khan merasmikan Majlis Penyerahan Bendera PDRM sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 yang akan bertolak ke Kanada tengah malam ini.
Turut hadir ke majlis adalah Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang dilantik sebagai Chef-de-Mission.
Ayob Khan juga menambah, seluruh warga pasukan menaruh harapan tinggi terhadap kontinjen PDRM untuk meraih kejayaan sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.
“Saya yakin segala persiapan fizikal dan mental serta latihan intensif yang dilalui oleh atlet sebelum ini mampu memberikan cabaran sengit kepada pesaing negara lain.
“Kalau boleh semuanya menang pingat emas pun bagus juga. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada barisan atlet dan pengurusan yang akan membawa PDRM ke pentas dunia,” tegasnya.-MalaysiaGazette