Kebakaran hutan menyebabkan kemusnahan dan pemindahan ribuan orang di Mediterranean, termasuk Algeria, Greece, Itali dan Sepanyol. foto World Meteorological Organization

ATHNES – Lebih 40 orang maut di Algeria, Itali dan Greece ketika kebakaran hutan Mediterranean mengancam kawasan perkampungan dan pusat peranginan hingga mengakibatkan beribu-ribu orang telah dipindahkan.

Greece sedang bersiap sedia untuk lebih banyak penerbangan untuk memindahkan penduduk dari Rhodes, kerana kebakaran turut berlaku di pulau Corfu dan Evia.

Gelombang haba yang panjang tidak menunjukkan perubahan – suhu dijangka meningkat melebihi 44 darjah Celcius di bahagian Greece.

Kebakaran di Sicily dan Puglia telah memaksa beribu-ribu orang melarikan diri.

Angin kencang dan tumbuh-tumbuhan kering menyebabkan anggota bomba sedang bergelut di banyak kawasan untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran.

Jumlah kematian paling ramai setakat ini ialah di Algeria, dengan 34 kes maut termasuk 10 askar yang dikelilingi api semasa melakukan pemindahan di wilayah pantai Bejaia, timur Algiers.

Bejaia adalah kawasan yang paling teruk dilanda, menyumbang 23 daripada kematian, laporan media tempatan.

Pihak berkuasa Algeria berkata, 80 peratus kebakaran telah dipadamkan sejak Ahad, tetapi usaha memadam kebakaran besar-besaran diteruskan, melibatkan kira-kira 8,000 kakitangan, ratusan trak bomba dan beberapa pesawat.

Api juga marak di negara jiran Tunisia, hingga 300 orang terpaksa dipindahkan dari kampung Pantai Melloula.

Di Greece, Kementerian Perlindungan Awam memberi amaran tentang “bahaya melampau” kebakaran di enam daripada 13 wilayah di negara itu pada hari Rabu.

Satu pasukan saintis iklim, World Weather Attribution berkata, gelombang panas paling teruk bulan ini berlaku di Eropah Selatan, Amerika Utara dan China hampir mustahil tanpa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.

Dua juruterbang maut di pulau Evia, di utara Athens, apabila pesawat pemadam kebakaran Canadair terhempas ke dalam gaung.

Di tempat lain di pulau itu mayat seorang lelaki yang hangus ditemui di sebuah pondok luar bandar terpencil.

Di Pulau Rhodes lebih 20,000 orang telah dipindahkan dari rumah dan pusat peranginan di selatan sejak beberapa hari lalu.

Firma percutian Jet2 dan Tui telah membatalkan pelepasan ke Rhodes untuk beberapa hari akan datang.

Pelancongan menyumbang satu daripada lima pekerjaan di Greece, dan industri ini penting untuk Rhodes dan banyak pulau lain.

Pejabat Luar United Kingdom menasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan ke bahagian Greece yang terjejas, tetapi telah menggesa pelancong untuk menyemak dengan pengendali pelancongan untuk mendapatkan maklumat terkini. – Agensi