HEBOH pimpinan dari Perikatan Nasional (PN) mencanangkan kepada rakyat, jika mereka menang di enam negeri pada pilihan raya negeri ini, maka mereka dapat mengambil alih Putrajaya.
Lama juga Bawah Kolong (BK) termenung dengan dakwaan ini. Benarkah, jika enam negeri ini, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang diperintah oleh PN maka automatik kerajaan pusat juga akan diperintah oleh PN.
Dalam termenung memikirkan itu, BK terjumpa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, kerajaan pusat tak sama dengan kerajaan negeri. Kerajaan pusat didiri, dibina, dibentuk melalui sokongan terbanyak ahli-ahli Parlimen manakala kerajaan negeri pula terbentuk oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Kerajaan Pusat sekarang ini disokong oleh 148 Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk Gabungan Parti Sabah (GPS). PN, dalam PRU ke-15 November tahun lalu hanya mendapat 76 kerusi.
Dari 76 kerusi, jika PN nak ambil alih kerajaan pusat, mereka sekurang-kurangnya perlu menarik 36 ahli Parlimen dari kerajaan untuk mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi.
Untuk dapatkan 36 ahli Parlimen dari kerajaan ini bukan suatu yang mudah. Semua 222 ahli Parlimen terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Mereka boleh lompat tetapi sanggupkah mereka kosongkan kerusi Parlimen untuk diadakan pilihan raya kecil?
Kalau mengikut akta itu, seseorang ahli Parlimen yang lompat parti perlu kosongkan kerusinya dan tidak boleh lagi bertanding.
Kalau dah tak boleh bertanding, kenapa nak lompat parti hingga perlu kosongkan kerusi dan diberikan kepada orang lain bertanding? Sedangkan, calon penggantinya belum tentu menang.
Oleh itu, jika PN menang di enam negeri sekalipun, kerajaan persekutuan tetap ditadbir oleh PH-BN-GPS. Kerajaan persekutuan ada tanggungjawab lagi pada empat negeri bawah PH-BN iaitu Pahang, Johor, Melaka dan Perlis.
PN bolehlah jaga tujuh negeri pimpinannya, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Tetapi, adakah ianya menjadi kenyataan PN? Dibimbangi, apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran. Dengar berita keesokan hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal PMX.
Pendek kata, habis PRN 12 Ogos ini, semuanya balik kepada asal. PN mentadbir negeri, PH-BN-GPS mentadbir kerajaan persekutuan. Tetapi, sejauhmana pusat nak terima negeri yang diperintah oleh PN?
Sudah barang tentu, kalau ada peruntukan pembangunan, pusat akan utamakan empat negeri pimpinan kerajaan perpaduan. Negeri-negeri lain terimalah hakikat mereka hanya anak tiri.
Sebagai anak tiri, nak perbelanjaan lebih daripada anak kandung, payahlah sikit. Kena terimalah layanan seadanya. Tak boleh cemburu, tak boleh iri hati. Tunggulah lima tahun lagi kalau betul-betul nak ambil alih Putrajaya.
Tetapi waktu itu sudah tidak sama dengan waktu hari ini. Dalam tempoh lima tahun atau empat setengah tahun dari sekarang, banyak perkara yang memberi manfaat dilaksanakan oleh pusat.
Ketika itu, rakyat menilai kesungguhan kerajaan perpaduan berslogankan Malaysia Madani mentadbir dan menjaga kebajikan mereka. Malah, mungkin pada PRU16, rakyat menolak PN dan PH-BN berjaya mengambil alih semula pentadbiran di enam negeri itu.
Persoalan adakah kerajaan pusat akan jatuh pada malam 12 Ogos ini, sudah terjawab. Pusat tidak sama dengan negeri. Untuk bentuk kerajaan pusat, ahli Parlimen yang tentukan. Begitu juga untuk bentuk kerajaan negeri, ADUN yang tentukan.
Ahli Parlimen dan ADUN, dua entiti berbeza. Mereka ada peranan masing-masing, iaitu Ahli Parlimen di pusat, ADUN di negeri. Masing-masing mengendalikan kerajaan sendiri. ADUN kerajaan negeri, ahli Parlimen kerajaan persekutuan.
Bilangan negeri yang memihak kepada mana-mana parti tidak boleh menentukan kedudukan kerajaan persekutuan. Negeri ada menteri besar dan exco manakala pusat ada perdana menteri dan menteri.
Masing-masing kena buat hal sendirilah. Terpulang kepada pusat sama ada nak salurkan peruntukan sama banyak kepada negeri pembangkang atau sebaliknya, negeri berkenaan tak boleh bising.
Tengok saja sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika jadi perdana menteri keempat, beliau ada hak dan kuasa nak sekat peruntukan masuk ke Kelantan. Masa itu, Pas terpaksa urus tadbir negeri dengan kebijaksanaan pimpinannya untuk pastikan rakyatnya terus hidup.
Begitulah nasib yang bakal menimpa enam negeri ini jika PN yang menang. Kerajaan pusat boleh untuk tidak mengambil tahu kepimpinan masing-masing sebab banyak lagi tanggungjawab nak dilakukan.
Namun, BK percaya kerajaan persekutuan pimpinan Anwar dengan dibantu dua Timbalan Perdana Menteri tidak sampai hati membiarkan rakyatnya hidup dibelenggu masalah.
BK yakin Anwar akan membawa kemakmuran, pembangunan, keperluan dan kebajikan rakyat serta dasar yang membawa perubahan secara progresif melalui slogan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette