KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia ((IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, terus menurun sebanyak negatif 4.8 peratus pada Jun 2023
berbanding negatif 4.6 peratus pada Mei 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian, perhutanan & perikanan terus turun selama enam bulan berturut-turut pada tahun
2023, mencatatkan negatif 20.4 peratus (Mei 2023: -27.2%), disebabkan oleh penurunan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit sebanyak negatif 34.4 peratus pada
Jun 2023.

Sektor perlombongan jatuh negatif 16.6 peratus (Mei 2023: -10.7%) dipacu penurunan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (-23.3%).

Pada masa sama, sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan sebanyak negatif 1.8 peratus.

Indeks pembuatan produk makanan jatuh negatif 9.9 peratus manakala indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal meningkat sebanyak 7.5 peratus, menjelaskan pergerakan marginal sektor pembuatan.

Bagi sektor utiliti, kedua-dua indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 3.2 peratus dan 1.0 peratus.

“Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun negatif 0.3 peratus pada Jun 2023 (Mei 2023: -0.4%). Sektor perlombongan merosot sebanyak
negatif 1.6 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (-0.8%) danpengekstrakan gas asli (-3.7%).

“Sektor pertanian, perhutanan & perikanan menurun sebanyak negatif 1.0 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks penanaman tanaman kekal (-2.2%). Sebaliknya, indeks sektor pembuatan tidak berubah pada Jun 2023.

“Bagi sektor utiliti pula, indeks bekalan air naik 0.9 peratus manakala indeks bekalan elektrik & gas turun negatif 0.6 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak negatif 18.7 peratus pada Jun 2023 (Mei 2023: -20.1%), dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan penurunan negatif 22.9 peratus.

Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen juga mencatatkan penurunan negatif 2.8 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks bahan & komponen untuk pembuatan (-6.6%) dan bahan api yang diproses & pelincir (-3.3%).

Sementara itu, indeks barang siap naik 3.3 peratus, disebabkan oleh peningkatan dalam kelengkapan modal (4.4%) dan barangan pengguna siap (2.0%).

Pada asas bulanan, kedua-dua indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen masing-masing turun sebanyak negatif
0.8 peratus dan negatif 0.6 peratus.

Sementara itu, indeks barang siap meningkat sebanyak 0.9 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast