Ahli keluarga menangis kegembiraan selelepas kesemua tertuduh terlepas daripada hukuman mati di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Lima sahabat terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah seberat 166.24 gram lima tahun lalu.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Nizam Makzan, 34; Nurshahira Hamraj, 27; Hairudin Ramle, 24; Muhammad Hilmi Rosly, 33, dan Dermawan Muhammad, 38, pada peringkat akhir kes pendakwaan.

Mengikut kesimpulan kehakiman yang dibacakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dan empat daripada tertuduh bukanlah penghuni kediaman di mana tangkapan dibuat.

“Keterangan tertuduh ketiga dan kelima adalah di dalam rumah dan bukan di meja kopi, ia tidak cukup sebagai bukti.

“Tiada mana-mana daripada tertuduh ditahan di meja kopi, kalaupun mereka tahu mengenai dadah tersebut tetapi jika tiada kawalan adalah tidak mencukupi untuk dibuktikan sebagai pemilikan.

“Oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah maka mahkamah dapati pertuduhan mengedar dan menyimpan dadah ini gagal dibuktikan dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam Mak Kah Keong, Tiu Leong Kim, Datuk Hanif Hassan, Azrul Zulkifli Stork dan Andrew Lourdes.

Kesemua tertuduh didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 166.24 gram.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan.

Tiga lagi pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 12(2) dan dibaca bersama Seksyen 12(3) atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 1.44 gram, Manoacetymorphines (1.81 gram) dan ketamine (17.66 gram).

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah rumah di Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Mac 2018.

Seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 6 Ogos 2019. – MalaysiaGazette