Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan menteri kabinet sambil diiringi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) ketika hadir pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan, konsep payung Rahmah yang diperkenalkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diteruskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu memberi kesan yang sangat mendalam kepada semua pihak khususnya rakyat yang memerlukan.

“Konsep Payung Rahmah turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup.

“Payung Rahmah diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham saudara Salahuddin Ayub,” katanya berucap pada Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Allahyarham Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, jam 9.23 malam, Isnin lalu.

Jumaat lalu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Allahyarham juga telah disahkan mengalami pendarahan otak dan selamat menjalani pembedahan oleh doktor pakar hospital berkenaan.

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu selamat dikebumikan pada jam 12.05 tengah hari di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Johor, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semua pihak yang mengenali pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu terkesan dengan pemergian tokoh politik terbabit.

“Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast