KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil & Persatuan- Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung penggunaan kelapa semasa perayaan Thaipusam sebagai tidak masuk akal dan sekadar satu jenaka.
Menurut Presiden Mahima, Datuk Sivakumar Nadarajah, Thaipusam merupakan perayaan penting bagi penganut Hindu di seluruh dunia dan diraikan dengan penuh keagamaan sepanjang seminggu.
Justeru sebarang usaha untuk mempertikaikan amalan tradisi seperti memecah kelapa tidak seharusnya timbul.
Kata beliau, masalah kekurangan bekalan kelapa sudah dilaporkan sejak Ogos 2024 seperti yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.
“Kenaikan harga kelapa sehingga RM3.50 kerana perlu diimport dari Indonesia juga telah dibincangkan dalam perbahasan Belanjawan Pahang 2024. Ini membuktikan bahawa isu ini bukan perkara baharu dan tidak wajar dijadikan kontroversi sempena perayaan Thaipusam,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Kon Yeow menggesa masyarakat Hindu untuk mengurangkan serta berhemah jumlah kelapa dipecahkan semasa Thaipusam minggu depan berikutan masalah bekalan kepala matang di negeri itu.
Kata Kon Yeow, walaupun ritual memecahkan adalah tradisi penting namun penganut harus bersikap lebih praktikal memandangkan kekangan ini.
Namun kata Sivakumar, hakikatnya masyarakat India khasnya penganut Hindu bukan sembarangan atau ‘suka suka’ menggunakan kelapa sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada ritual suci yang melambangkan kesucian, keberkatan, serta perlindungan daripada halangan.
“Sebenarnya kerajaan perlu tampil mencari penyelesaian bukan bertindak menggesa rakyat untuk melakukan sesuatu yang bukan sahaja tidak hormat kepada kepercayaan dan ritual sebaliknya tampak agak ‘sempit’ dengan cadangan seumpama itu.
“Jika isu kekurangan bekalan kelapa telah diketahui sejak Ogos lalu, kerajaan sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan pengeluaran bukannya menasihati rakyat agar mengubah tradisi turun-temurun ini.
“Kerajaan harus fokus kepada penyelesaian seperti memperkasakan industri pertanian, bukannya sekadar meminta rakyat mengurangkan penggunaan kelapa, yang jelas bukan penyelesaian yang rasional,” tegasnya.
Katanya lagi, menghormati kepercayaan dan amalan masyarakat adalah tanggungjawab semua pihak dan tiada siapa berhak menghalang penganut Hindu daripada meneruskan ritual yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
Untuk makluman, Disember lalu, kerajaan memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi untuk menghadapi musim perayaan berturut-turut pada awal tahun depan termasuk Tahun Baharu Cina, Ramadan, dan Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak kementerian sedang berunding dengan agensi berkaitan, seperti Fama Corporation Sdn Bhd, bagi memastikan bekalan kelapa dapat ditambah melalui import dari negara pengeksport, khususnya Indonesia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Masalah bekalan kelapa gugat persiapan Thaipusam di P.Pinang














