isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pengakuan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mengakui pernah menjadi rakan kongsi dengan peguam, Jasmine Loo Ai Swan amat mengejutkan, kata Datuk Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, pengakuan tersebut adalah satu lagi contoh kenapa perbicaraan adil untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipersoalkan.

“Ini macam konflik kepentingan Hakim Nazlan yang terus disenyap sepikan. Setelah lima tahun baru Collin buat pengakuan. Itu pun setelah Jasmine Loo ditangkap. Dia orang buruan di Switzerland.

“Menurut Collin pengakuan itu demi “kepentingan ketelusan dalam pentadbiran keadilan”. Setelah lima tahun dan setelah Jasmine Loo tertangkap?

“Apakah itu puncanya tidak ada kesungguhan untuk tangkap dan bawa balik Jho Low dan Nik Faisal? Macam sesuatu mahu disembunyikan supaya Najib terus jadi mangsa,” soal Puad, hari ini.

Puad berkata demikian mengulas laporan media bahawa Collin Lawrence mengakui pernah menjadi rakan kongsi dengan peguam, Jasmine Loo.

Jasmine merupakan bekas peguam 1MDB yang melarikan diri ke luar negara beberapa tahun selepas terbongkarnya kes berprofil tinggi itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Collin membuat pendedahan itu selepas peguam yang mengetuai pembelaan mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee melontar persoalan adakah pendakwaan bercadang untuk memanggil Jasmine yang kini berada di Malaysia.

Dalam pada itu, Puad berharap agar pihak pendakwaan menawarkan Collin sebagai saksi.

“Peguambela Najib menyatakan Jasmine Loo adalah saksi yang sangat relevan. Jangan pula nanti pihak pendakwaan tidak menawarkan dia sebagai saksi

“Diharap PDRM segerakan usaha bawa balik Jho Low dan Nik Faisal. Kalau Jasmin Loo boleh ditangkap kenapa tidak mereka berdua,” katanya.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam sidang media bulan lepas berkata, Jasmine ditahan di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast