KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki didakwa mencuri sebuah telefon bimbit di sebuah klinik swasta, di Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah mengesan video tular berdurasi 35 saat yang memaparkan kejadian itu hari ini.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 8.13 pagi semalam ketika pengadu merupakan wanita berusia 21 tahun sedang bertugas sebagai pembantu klinik.

“Mangsa menyedari telefon bimbit miliknya yang diletakkan di bahagian kaunter klinik telah hilang dan kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Pengadu mendapati seorang lelaki telah masuk ke dalam klinik dan mengambil telefon bimbit itu menyebabkan kerugian RM500,” katanya dalam kenyataan.

Noor Ariffin berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Azlan Mohd Jaafar di talian 017-3605063 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi 36 saat menunjukkan seorang lelaki masuk ke dalam klinik dan mengambil telefon bimbit yang terletak di atas kaunter sebelum beredar. – MalaysiaGazette