PUCHONG – Ahli DAP yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, dipecat berkuat kuasa serta merta.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan prinsip parti yang terkandung dalam perlembagaan.
“Mengikut perlembagaan parti mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran akan dipecat serta merta ini jelas. Semua ahli faham jadi kalau dia bertanding dipecatlah,” katanya
Beliau berkata demikian mengulas tindakan David Marshel yang mengumumkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai sebagai calon Bebas.
Semalam dilaporkan, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan itu keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa semalam selepas membuat keputusan untuk bertanding.
Jelasnya, tindakan berkenaan bukan atas kepentingan diri selepas bersama parti itu selama 15 tahun, sebaliknya mahu menyelamatkan DAP daripada kepimpinan Pengerusinya, Lim Guan Eng.
Dalam masa yang sama, David mahu menyokong Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow kekal sebagai Ketua Menteri negeri itu.
Sebagai rekod, David sebelum ini merupakan Setiausaha Perhubungan Bahagian DAP Batu Kawan dan Ketua Cawangan Kampung Jawa Autocity. – MalaysiaGazette