Kedua-dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM100 juta babitkan visa luar negara yang digunakan untuk membawa warga Bangladesh bekerja di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi tersebut dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia.

Kedua-dua individu dipercayai dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

Tambah sumber, kegiatan tersebut telah dilakukan sejak 2021 dan pegawai terbabit dipercayai menerima bayaran antara USD300 dan USD500 bagI setiap kelulusan permohonan VLN.

Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

Menurut sumber lagi, kedua-dua lelaki berusia lewat 30an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Katanya, seorang individu yang ditahan dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut.

Tambah sumber, pegawai tersebut adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga yang telah ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Mageshwary A/P Muniandy telah membenarkan kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 31 Julai 2023 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast