SEREMBAN – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan sedia bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota sekali gus menentang Barisan Nasional (BN) pada hari pencalonan Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, ia selepas hasrat meletakkan Ketua Pemuda Amanah Rembau Muhammad Allif Ibrahim sebagai calon kerusi itu masih dipandang sepi pucuk pimpinan.
Menurutnya, dalam kesuntukan waktu yang hanya berbaki 14 jam, Pemuda Amanah negeri akan terus mendesak kepimpinan di peringkat negeri untuk diberikan peluang bertanding.
“Sekiranya itu masih tidak berjaya, kita tak tolak kemungkinan untuk bertanding sebagai calon bebas kerana sudah bersedia daripada segi segala segala aspek termasuklah kewangan dan kesediaan calon.
“Malah kita juga sudah ada jentera yang boleh digerakkan terus untuk bertanding,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, sayap parti itu juga bersedia dikenakan tindakan disiplin oleh parti kerana menentang calon BN yang merupakan rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Namun saya yakin kalau parti ingin mengambil tindakan disiplin, parti akan menilai dari segala aspek kenapa langkah ini diambil, apakah justifikasinya dan kami bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Ditanya adakah tindakan itu bermakna mereka akan memboikot kempen calon BN di kerusi itu termasuk DUN lain, Ahmad Shukri berkata, isu itu tidak timbul.
“Tak ada isu boikot terhadap calon-calon lain malah kami di peringkat Pemuda Perpaduan mempunyai hubungan yang sangat baik terutama dengan Pemuda UMNO, DAP dan Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK).
“Kita sudah sampai kata sepakat untuk terus saling bekerjasama dan setakat hari ini walaupun kita ingin bertanding di DUN Kota ia tidak menjejaskan hubungan di peringkat kepimpinan tertinggi Pemuda Perpaduan Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette