Ulf Kristersson. Foto: Nicolas Maeterlinck/BELGA/dpa

STOCKHOLM – Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson pada Khamis berkata beliau “amat bimbang” tentang pembakaran naskah al-Quran di negara Scandinavia itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Beberapa siri protes telah diumumkan untuk minggu akan datang, yang boleh mendorong kepada pembakaran naskah al-Quran, kata pemimpin Parti Moderate itu pada sidang media di Stockholm.

Kristersson berkata kini terpulang kepada polis untuk memutuskan sama ada protes dibenar untuk diteruskan.

“Sekiranya diluluskan, kami mempunyai beberapa hari di mana perkara serius boleh berlaku,” kata Kristersson, tanpa menghuraikan apa yang beliau maksudkan secara khusus.

Kerajaan akan menugaskan 15 agensi untuk mengukuhkan perlindungan terhadap keganasan, katanya.

Tindakan Islamofobia oleh kumpulan kecil di Sweden dan Denmark, di mana naskhah al-Quran dibakar, baru-baru ini mencetuskan kemarahan serta protes dan ancaman di beberapa negara Islam.

Pada Rabu, perkhidmatan perisikan domestik Sapo negara itu memberi amaran pembakaran naskah al-Quran telah menimbulkan peningkatan risiko keselamatan di Sweden.

Ketua Sapo, Charlotte von Essen dalam sidang media pada Khamis menekankan bahawa tahap amaran keganasan masih belum dinaikkan, tetapi negara itu berubah daripada menjadi sasaran “sah” kepada sasaran “keutamaan” di mata pelampau.- BERNAMA-dpa