Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2023.

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kecaman dan makian yang dilemparkan oleh Perikatan Nasional (PN) terhadap Kerajaan Perpaduan berpunca daripada sikap dengki.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, mereka tidak senang melihat kejayaan kerajaan terutamanya dari segi menarik pelaburan asing daripada syarikat terkemuka seperti Tesla.

“Ini yang Perikatan Nasional dengki, yang pakai kopiah, yang pakai kain, yang pakai serban.

“Tetapi penyakit dengki di hatinya sama,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madan dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2023.

Anwar turut menempelak pemimpin-pemimpin PN yang sering membangkitkan tentang isu kluster mahkamah dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, mereka sepatutnya sedar bahawa terdapat lebih banyak kluster mahkamah dalam PN.

“Kalau keadaan yang berlaku sekarang, curi sana curi sini, curi tanah, curi balak, curi nadir bumi, saya ingat lebih ramai kluster mahkamah dalam PN,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar meletakkan harapan yang tinggi kepada kepimpinan Aminuddin untuk mempertahankan kekuatan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau juga menyifatkan Negeri Sembilan penting sebagai kekuatan asas Kerajaan Perpaduan.

“Kerja kita adalah selamatkan negeri dan negara dan Negeri Sembilan masih merupakan kubu kuat Kerajaan Perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette