Muhammad Shafee Abdullah.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini menangguhkan permohonan rayuan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Tan Sri M Ramasamy, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyennya, sekali gus mengekalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), R Yuneswaran.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan menangguhkan pendengaran pada 1 Ogos depan.

Prosiding rayuan yang sepatutnya didengar hari ini namun peguam utama Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir kerana mengalami migrain dan sedang cuti rehat.

Peguam bela yang juga mewakili Ramasamy, Sarah Maalini Abishegam mengesahkan Muhammad Shafee diberikan sijil cuti sakit selepas mengalami serangan vertigo dan dinasihatkan supaya berehat.

Sarah berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Muhammad Shafee memaklumkan beliau tidak boleh berjalan atau kemungkinan terjatuh kerana vertigo.

“Beliau (Shafee) baru pulang dari luar negara minggu ini dan menghadiri prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Rabu lalu, yang mana beliau kurang sihat menyebabkan prosiding itu bermula lewat.

“Malam tadi keadaannya menjadi lebih teruk sehingga pagi, kita mohon prosiding ditangguhkan ke tarikh lain,” ujarnya.

Pada 14 April lalu, Ramasamy memfailkan notis rayuan dengan menamakan Yuneswaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Segamat selaku responden.

Susulan itu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Suzana Atan serta peguam bela Yuneswaran, Lau Yi Leong, masing-masing tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Muar, Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Ramasamy selepas mendapati petisyen yang difailkan pada Januari lalu cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan kemenangan Yuneswaran selain mengarahkan Ramasamy membayar kos sebanyak RM30,000.

Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya membabitkan bahan kempen dan mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Yuneswaran menang kerusi Parlimen Segamat pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) tahun lalu dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey. – MalaysiaGazette