Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Penyandang kerusi yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua lagi calon Bebas, Mohammed Hafiz Baharudin, 47, dan Bujang Abu, 72.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sikamat, Saiful Saadon di pusat penamaan calon di Dewan Komuniti Coral Heights, di sini, pukul 10.30 pagi.

Sementara itu Aminuddin berkata, beliau yakin PRN kali ini akan memberikan satu impak yang baik kepada masyarakat untuk mereka memilih calon-calon mereka termasuk dua calon Bebas.

“Alhamdulillah inilah proses demokrasi di tempat kita dan saya akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan ini dan tentulah calon-calon lain pun mereka ada kelebihan masing-masing.

“Calon lama pun ada, dia bertanding Bebas kali ketiga rasanya yang saya kenal selalu dia tinggal di kawasan ini dan ada pengikutnya termasuklah calon PN merupakan mereka yang berada di kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan penamaan calon.

Aminuddin memenangi DUN Sikamat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008 dan kemenangan beliau di DUN berkenaan pada PRU14 pada 2018 membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar.

Ia selepas PH memenangi 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan, sekali gus mentadbir Negeri Sembilan

Naib Presiden PKR itu memperoleh 9,832 undi menewaskan tiga calon lain mewakili BN, Pas dan seorang calon Bebas dengan majoriti 3,413 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast