KUALA LUMPUR – Semua calon dan penyokong parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu berkempen dengan penuh tatasusila.
Seruan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meninjau tiga pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Insya-Allah diharap semua (parti dan penyokong) menjalankan kempen dengan tersusun, sopan dan beradab,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan di Restoran Hameediyah Bistro, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau meninjau tiga pusat penamaan calon di Gombak, Selayang dan Ampang bermula jam 8.30 pagi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, proses penamaan calon yang dilawatinya sebentar tadi turut berjalan lancar.
“Alhamdulillah, saya lihat proses penamaan calon hari ini aman dan teratur. Calon-calon juga kemukakan pendaftaran dengan baik,” ujarnya.
Terdahulu, penyokong Perikatan Nasional (PN) melaungkan ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ dengan nada sinis kepada Anwar ketika beliau meluangkan masa di pusat penamaan calon di Selayang.
Bagaimanapun, Anwar dilihat tenang menghadapi situasi berkenaan dengan menyambut laungan sama kepada para penyokong PN sebelum bersurai. – MalaysiaGazette